Lebih 14,000 Penjawat Awam Terengganu Terima Bonus RM500

Lebih 14,000 Penjawat Awam Terengganu Terima Bonus RM500

KUALA TERENGGANU – Seramai lebih 14,000 penjawat awam di Terengganu akan menerima bayaran bonus sebanyak RM500 setiap seorang sebagai penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen mereka dalam memacu pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa pengumuman berhubung bonus itu dibuat secara berasingan dan tidak dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 yang berlangsung pada Isnin lalu. Menurutnya, pendekatan baharu itu dipilih bagi memastikan pembentangan bajet lebih tersusun, fokus dan mudah difahami rakyat.

“Beberapa pihak mempersoalkan mengapa angka serta maklumat berkaitan bonus tidak disebut dalam pembentangan. Ini sebenarnya dilakukan dengan sengaja kerana kita mahu pembentangan bajet menjadi wadah yang jelas dan tidak sarat dengan gaya bahasa atau elemen ‘grandstanding’,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa ini merupakan kali pertama sejak 2018—daripada tujuh pembentangan bajet negeri—maklumat mengenai bonus penjawat awam tidak diumumkan dalam pembentangan utama.

“Saya telah memaklumkan kepada Pegawai Kewangan Negeri bahawa pengumuman bonus tidak akan dibuat semasa pembentangan bajet, sebaliknya akan dijelaskan dalam sesi penggulungan. Ramai yang menantikan pengumuman ini, termasuk mereka yang mungkin bukan dalam kalangan penjawat awam negeri,” katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, pemberian bonus tersebut mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap dedikasi dan profesionalisme penjawat awam yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kelancaran urusan pentadbiran di Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *